KECEMERLANGAN bangsa dan negara bukan saja tuntutan Islam bahkan menjadi tuntutan peradaban dunia moden. Ia bergantung kepada integriti kepemimpinan dan sistem pentadbiran yang baik.
Maka tidak hairanlah jika kepemimpinan dan pentadbiran menjadi pemangkin ke arah pembinaan tamadun manusia.
Dalam hubungan ini, jika institusi pentadbiran awam dianggap baik, ia sebenarnya disebabkan integrasi dan kesepaduan yang kukuh lagi rapat antara pihak pemimpin politik dan pentadbiran awam. Bahkan, kejayaan dan pencapaian dinikmati rakyat adalah berikutan perencanaan dan perancangan sempurna lagi berpandangan jauh, hasil kerjasama dan permuafakatan ini.
Justeru, saya bersetuju kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bahawa kecemerlangan kita melestarikan dan melonjakkan kejayaan serta pencapaian luar biasa dalam setiap program pembangunan negara sejak 50 tahun Merdeka adalah kerana kewibawaan kepemimpinan kerajaan yang ada, khususnya sektor awam.
Bahkan, tanggungjawab pemimpin sebagai penguasa dan pemerintah di bumi Allah ini semestinya memakmurkan, memperbaiki serta menegakkan keadilan sosial dan ekonomi. Ia mesti menebus maruah bangsa dan menjulang ketamadunan negara sambil menjamin kestabilan politik.
Persoalannya kini kenapa kesinambungan dan kestabilan politik dinodai oleh bangsa sendiri? Kenapa segala pencapaian rakyat dalam perubahan sosioekonomi dan peningkatan kualiti hidup yang semakin meningkat di pandang enteng bahkan tidak disyukuri?
Kenapa pula ada usaha untuk mengganggu gugat kesejahteraan sosial dan ekonomi yang dibina sekian lama, sedangkan kita berdepan musuh yang lebih besar di luar.
Sesungguhnya, negara kita memang bertuah kerana integriti kepemimpinan ala Islam Hadhari dan Misi Nasional yang berpandangan jauh mampu memacukan kejayaan kita ke arah wawasan 2020. Malah, program Koridor Utara, Selatan, Pantai Timur, Sabah dan Sarawak menjanjikan kemakmuran rakyat yang amat besar sekali sambil mempertingkatkan kualiti hidup mapan secara menyeluruh.
Misi Nasional sebagai pelan tindakan pembangunan negara ke arah negara maju menjelang 2020 memastikan negara terpelihara, ekonomi terjamin dan sekali gus tenaga rakyat /modal insan terbentuk mengikut acuan kita sendiri.
Bahkan, kecemerlangan serta ketamadunan kita terserlah bila berlaku kesinambungan kepemimpinan dan peningkatan kualiti pentadbiran supaya pada akhirnya kita duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan tamadun besar yang lain.
Justeru, marilah kita bersama muhasabah diri serta bersyukur kepada Allah SWT dengan memperkuatkan keazaman kita untuk bersama menikmati secara saksama kemewahan berterusan dan kualiti hidup yang lebih baik daripada berusaha menggadai nasib. Inilah perjuangan kita sebagai umat Islam dan rakyat Malaysia menjelang 2020.
Thursday, July 17, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment