Sunday, July 20, 2008

MINGGU SUAI MESRA – PENGGERAK KETERBILANGAN MAHASISWA

Segala puji bagi Allah Tuhan sekalian alam, selawat dan salam ke atas junjungan Nabi Muhammad S.A.W.

Sebelum itu, suka penulis memperkenalkan diri secara ringkas. Penulis diberi nama Azrul Bin Ibrahim dan menjadi Ketua Pengarah MSM 2008/2009.
Ketika mencipta “perkongsian” ini, telah genap 2 minggu “MSM” meninggalkan penulis, rakan-rakan, orang-orang yang menjiwai MSM 08/09 mahupun mereka yang merasai MSM 08/09 itu sesuatu yang bermanfaat. Kerana apa? Tidak sempurna dan menarik sesuatu peristiwa(program) itu jika kita tidak merasai kehilangannya. Penulis amat merindui MSM 2008/2009 yang telah jauh meninggalkan kita. Penulis amat rindu gelagat pelajar-pelajar baru, penulis teringatkan saat indah bersama PSM(termasuk sahabat-sahabat MPP) dan juga penulis tercari-cari suasana indah yang setakat ini hanya penulis dapat nikmati dan rasai di dalam MSM 2008/2009 sahaja.

Untuk mencipta “perkongsian” ini, penulis cuba untuk berlaku adil, membincangkan segalanya dengan kebenaran dan menghuraikannya secara bijaksana. Penulis cuba untuk tidak membohongi diri dan pembaca sekalian. Nabi Muhammad mengingatkan manusia supaya tidak berbohong ketika berbicara kerana ianya termasuk dalam ciri-ciri orang yang munafik. Allah amat tidak menyukai golongan munafik ini.

Bercakap mengenai MSM, suka penulis membincangkannya berdasarkan 2 kata-kata yang tidak boleh terpisah apa lagi dipisahkan iaitu INDUKSI MSM dan MSM itu sendiri.

Umum mengetahui sebelum MSM adanya INDUKSI dan umum juga mengetahui INDUKSI amat penting bagi menjadikan MSM sebagai gerbang permulaan terbaik kepada para pelajar baru di UMS ini. Induksi membentuk peribadi unggul, induksi membina semangat kental, induksi menjana perpaduan, induksi mewacana kematangan. Itulah kata-kata awal yang boleh penulis gambarkan untuk induksi.

Sepanjang induksi berlangsung, pelbagai rakaman realiti yang berlaku baik di depan mahupun di belakang mata penulis. Baik dan buruk, manis dan pahit, putih dan hitam, segalanya ditempuhi dengan berbekalkan semangat organisasi yang jitu.




Dalam menggenggam “stering” nahkoda besar MSM, penulis mencontohi ciri-ciri kepimpinan yang ditonjolkan oleh junjungan besar yang utamanya dan idola pemimpin moden iaitu PM-4 dan PM-5. Penulis mengamalkan sikap “keterbukaan” dalam memacu organisasi. Penulis memerhatikan setiap sudut dan ruang dalam berkeputusan. Penulis cuba menyenangi hati semua namun hukum alam tidak membenarkan. Sedaya mungkin penulis meRAJAi kapal besar yang sedang berlayar di lautan bergelora. Belum difikirkan lagi “pengkhianat” yang mungkin ada didalam kapal besar ini dan juga jangan dilupakan kepada pengecut yang cuba bermain pisau dari belakang.

Namun akhirnya kapal besar ini selamat sampai ke destinasi. Semua anggota kapal tersenyum riang melihat lambaian mesra lebih 3500 wajah-wajah ceria dari jauh lagi. Ada diantara mereka yang tersenyum, ketawa, berjenaka dan tidak kurang yang menitiskan air mata berharga. Itulah mereka pelajar-pelajar baru UMS.





Bermulanya MSM 2008/2009.

Suka penulis memetik kata-kata Presiden MPP 2007/2008 sebagai menyebut ‘kalau ditanya apa yang akan paling saya ingat semasa menjadi MPP, jawapan saya ialah MSM’. Mungkin sedikit keterlaluan jawapannya kerana belum pun tamat lagi sesi pemerintahan MPP 2007/2008, namun beliau berani membuat kenyataan sedemikian. Namun, berani penulis nyatakan, MSM memberikan impak positif yang keterlaluan kepada banyak pihak terutamanya Presiden sehingga beliau menyatakan hujah sedemikian. Bukan mudah untuk membuat keputusan dan hipotesis awal kerana ianya memerlukan sesuatu bukti yang nyata dan kukuh. Walaubagaimanapun, MSM 08/09 terbukti memukau sesiapa sahaja yang “sensitive” terhadapnya.




Ketika hari pertama berlangsungnya MSM, semasa tamatnya Taklimat MSM yang disampaikan oleh Yang Berusaha Prof Madya Dr Jualang, beberapa orang pelajar baru menemui penulis dan salah seorang daripada mereka menyatakan sesuatu kepada penulis. “Tahniah, you are the best leader”. Alangkah terkejutnya penulis, seorang pelajar baru menyatakan ayat sedemikian ketika MSM baru ditekan butang “on”nya. Kalau kita lihat lampu pun, jenis-jenis lampu yang berkualiti sahaja yang apabila ditekan butang “on”, lampu itu akan terus menyala. Beberapa jenis lampu yang lain memaksa kita menunggu dalam beberapa saat untuk lampu itu menyala sempurna. Bukan bermaksud memuji diri, namun sebagai khiasan, penulis ingin menggambarkan betapa berpengaruhnya MSM 2008/2009. Pengaruh ini dicipta oleh organisasi yang cukup cekap.

Ya, terlalu banyak perubahan yang ingin dilakukan di dalam MSM pada kali ini. Bermula dari PSM,induksi dan corak pengurusan organisasi, semuanya telah mendapat suntikan penambahbaikan. Kali pertama MPP turun menjadi salah seorang perancang seperti pemain tengah di dalam perlawanan bola sepak. Biarpun tidak semua menjadi perancang yang hebat, namun keputusannya tetap memihak kepada organisasi. Rasa macam tidak pernah timbalan pengarah merasai empuknya kerusi di atas pentas, MSM 2008/2009 melakukannya. Seakan jarang-jarang PSM dijadikan “berlian” di dalam induksi namun MSM 2008/2009 mempamerkannya. Lihatlah betapa “open”nya MSM kali ini, betapa “friendly”nya MSM kali ini. NAMUN! Jangan pula disalah-ertikan. Keterbukaan ini bukan bermaksud “cair” dan kemesraan ini bukan beerti “kecut”. Organisasi mempunyai pendirian kental dan utuh. Jangan dipersenda. Organisasi memiliki nilai dan pembawaan yang rasional. Jangan dipertikai. Segala keputusan adalah berlandaskan suara. Segala persepakatan adalah berdasarkan kerelevenan hujah. Tidak ada keraguan lagi.

Menjawab soalan-soalan mudah tetapi perlu penilaian rapi misalannya kedudukan pelajar seperti dirancang mengikut ciri-ciri tertentu, masalah pengangkutan, makanan, keselamatan dan lain sebagainya yang berlaku sepanjang MSM, boleh saya katakan ianya merupakan RUTIN pelajar IPTA. Penulis tidak menyentuh isu ini dengan lebih lanjut kerana semuanya jelas dengan situasi ini.

Terima kasih di atas penghargaan baik daripada rakan-rakan MPP, Organisasi, PSM mahupun pelajar baru UMS yang tidak henti-henti menaburkan pujian dan tidak kurang juga nasihat berguna. Kepada teman-teman MPP, teruskan perjuangan kita ini bersama-sama. Kepada teman-teman di Organisasi, terima kasih yang tidak terhingga. Kepada semua PSM, anda mewarnai malam-malam penulis dengan senyuman dan kepada para pelajar baru, jadikan MSM yang telah berlalu sebagai satu wadah untuk anda terus dan terus bertekad cemerlang, Buang tabiat 5K(katil,kafe,kuliah,Komputer,KK) yang menghantui budaya kampus kini dan gantikan dengan yang baru. Ingat, anda pencetus perubahan budaya kampus.


BERTEKAD CEMERLANG


Penulis : Azrul Bin Ibrahim
Exco Kepimpinan Dan Latihan
Majlis Perwakilan Pelajar






“kini kita bercakap dengan hati dan menyukat dengan tajam mata, mencerca santun syahdu, setiap hajat, lahir dan batin kita cuba sampaikan dengan dakapan budi juga lidah bijak lunak bestari”


Mahasiswa Peneraju Keunggulan Ummah

3 comments:

Muslimin Agung said...

Kupasan yang menarik lahir daripada hati yang murni

lAl said...

Insyaallah dengan kupasan ini mampu merungkaikan apa yang berserabut di hati...insyaallah..

pijol@fizul said...

keunikkan tetap berada dimane-mane pun....