Monday, September 8, 2008

PERSEDIAAN MENERIMA KEDATANGAN RAMADHAN



Dalam sedar tidak sedar, Ramadhan bakal kunjung tiba seminggu sahaja daripada sekarang. Namun yang menjadi persoalan sekarang adalah bagaimana persiapan kita menerima kunjungan Ramadhan Al-Mubarak 1429 H ini.

Keadaan di Malaysia kurang terasa akan bahang ketibaan Bulan Mulia ini. Antara sebab yang pertama adalah kerana masyarakat di Malaysia itu sendiri memang kurang penghayatan dalam menyambut Ramadhan ini. Media arus perdana juga kurang atau boleh dikatakan hampir tiada lansung menghebohkan akan ketibaan ini. Yang keduanya, suasana politik Malaysia yang semakin hangat menyebabkan masyarakat lebih menumpukan kepada isu Permatang Pauh, AUKU, Sumpah, Rasuah, BPR dan sebagainya yang menjadi suapan utama media-media utama Negara.

Keadaan dan suasana di Mesir pula berbeza sekali dengan Malaysia. Masyarakat Mesir tidak menantikan sepuluh malam terakhir untuk menunaikan solat malam tetapi mereka tunaikannya diawal Ramadhan lagi. Waktu dilaksanakan pula bukan seperti di Malaysia iaitu pada pukul 3 pagi tetapi seawall pukul 12 lagi. Tidak hairan jika mereka dalam mengkhatamkan al-Quran pada pertengahan bulan lagi kerana satu juzuk dihabiskan dalam solat terawih dan satu juzuk lebih lagi dalam qiamunlail yang dilakukan.



Persiapan Demi Persiapan

Menghadapi sesuatu yang besar memerlukan persiapan yang rapi, justeru bagi yang menganggap Ramadhan adalah suatu yang besar, persiapan demi persiapan telah dilakukan.

i) Berusaha mengkhatamkan al-Quran

Ramadhan bukanlah bulan mengejar mengkhatamkan al-Quran tetapi usaha mengkhatamkan perlu dilakukan tanpa menidakkan tajwid, tertib dan adab-adab membaca al-Quran.


ii) Menyucikan hati

Persiapan yang paling penting adalah penyucian hati itu sendiri. Menjauhkan diri daripada melakukan perkara-perkara makhruh apatah lagi perkara mungkar yang terlarang.

iii) Solat diawal waktu

Juga diingatkan untuk kita sama-sama berusaha menunaikan solat fardhu pada awal waktu. Solat adalah perkara utama yang akan dihisab diakhirat kelak.

“ aku rasa tahu kenapa aku beberapa hari ini selalu lewat ke kelas” rungut diriku kepada seorang sahabat. “ kenapa?” penjelasan kepada soalan itu diminta.

“ Aku kurang jaga waktu solat, selalu je solat lewat sekarang, itulah sebabnya aku rasa” muhasabah diriku.

iv) Mencari ilmu berkaitan puasa

Tidak dinafikan peri pentinguntuk kita mencari ilmu berkiatan puasa dalam usaha untuk menjadikan puasa kita sempurna dan tidak sia-sia, lapar dan dahaga semata-mata. Mencari ilmu ini boleh didapati melalui pembacaan. Disarankan membaca Kitab Fikah Mazhab Syafie jilid 2, Zakat Puasa, haji dan Umrah. Jika tidak berkesempatan untuk membaca, boleh juga mndapatkan ilmu berkaitan puasa melalui kuliah-kuliah agama disurau atau masjid. Jangan menantikan ketibaan Ramadhan baru hendak mengaji.

Doa Kedatangan Ramadhan

الللهم باركلنا فى رجب و شعبان و بلغنا رمضان

“Ya Allah, berkatilah aku di Rejab dan Syaaban, serta sampaikan aku kepada Ramadhan”

Sebaiknya doa ini sentiasa dibaca dalam setiap doa selepas solat fardhu. Para Ulama-ulama’ membaca doa ini bukan hanya pada bulan rejab dan syaaban tetapi 6 bulan sebelum kedatangan Ramadhan lagi telah diamalkan.

Maka dengan ini, daku mengambil kesempatan memohon jutaan kemaafan kepada seluruh mahasiswa UMS andai kata pelbagai dosa yang telah ku lakukan.....sambutlah Ramadhan kali ini dengan penuh rasa syukur serta tawadhu’ kerana kita masih lagi diberikan kesempatan bernafas di bumi ini.

Salam Ramadhan Almubarak!

Friday, September 5, 2008

16 September – Kerajaan baru???

Tanggal 16 September merupakan hari kebanggaan warga Malaysia khususnya rakyat Sabah dan Sarawak. Tanggal inilah tertubuhnya ‘Malaysia’ apabila Persekutuan Tanah Melayu telah bergabung dengan Sabah, Sarawak dan Singapura sebelum Singapura menarik diri daripada gagasan Malaysia disebabkan factor-faktor yang tidak dapat dielakkan.
Namun, tarikh ini menjadi semakin popular sejak kebelakangan ini. Apa tidaknya, tarikh 16 Septemberlah yang dinyatakan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai tarikh tumbangnya kerajaan Barisan Nasional dan tertubuhnya kerajaan Malaysia yang baru di bawah kekuasaan Pakatan Rakyat.
Jika dilihat secara kasarnya, perkara ini seolah-olah sebuah cerita realiti. Banyak faktor yang menyebabkan Pakatan Rakyat bertambah yakin akan kenyataan ini. Kemenangan besar Pakatan rakyat pada PRU-12 yang lalu sedikit sebanyak menampakkan kepada kita betapa rakyat memberi isyarat kepada kerajaan di bawah pimpinan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bahawa pimpinan BN perlu terus bekerja dengan lebih gigih. Pakatan Rakyat telah berjaya membentuk 5 buah kerajaan negeri iaitu mengekalkan kakuasaannya di Kelantan, merampas 2 buah negeri ‘kesayangan’ BN iaitu Selangor dan Pulau Pinang dan berjaya menguasai Kedah dan Perak.
Selain itu juga, masalah dalaman BN yang wujud selepas PRU-12 memperlihatkan betapa setiap parti komponen dalam BN menuntut sesuatu demi kepentingan parti masing-masing. Isu-isu seperti penarikan diri 2 orang wakil rakyat Sabah sebagai Timbalan Menteri Persekutuan menambahkan lagi keyakinan Pakatan Rakyat untuk memenangi hati ahli parlimen BN.
Ditambah lagi dengan kelantangan parti komponen BN iaitu SAPP di ketuai Datuk Yong Teck Lee yang sudah hilang kepercayaan kepada kepimpinan Datuk Seri Abdullah. Harus diingat, ketika BN berjaya merampas Negeri Sabah daripada cengkaman PBS(kini menjadi parti komponen BN), Datuk Yong Teck Lee dan SAPP memainkan peranan yang cukup penting di mana Datuk Yong Teck Lee dan SAPP tidak setia bersama PBS dengan menyertai Barisan Nasional. Ini merupakan usaha Datuk Seri Anwar ketika beliau menjadi Timbalan Perdana Menteri pada ketika itu. Beliau berjaya memujuk Datuk Yong Teck Lee dan SAPP untuk membelot PBS dengan menyertai BN.
Kini, 2 watak ini(Datuk Yong Tek Lee dan Datuk Seri Anwar) dilihat cuba sekali lagi mengulangi sejarah. Datuk seri Anwar dengan kenyataannya beberapa ahli parlimen BN terutamanya daripada Sabah dan Sarawak akan melompat parti untuk mewujudkan kerajaan baru 16 September. Perkara ini telah menyebabkan perhatian seluruh warga Malaysia tertumpu kepada ahli parlimen Sabah dan Sarawak.
Jika dikaitkan isu ini dengan Datuk Yong Teck Lee dan SAPP, beberapa perkara perlu diambil perhatian. Kedudukan Datuk Yong Teck Lee di dalam SAPP tidak seteguh dulu dimana timbalannya Datuk Raymond dilihat lebih berpengaruh. Datuk Raymond yang juga merupakan Timbalan Ketua Menteri Sabah dilihat sangat setia kepada BN dan kerajaan. SAPP hanya mempunyai 2 orang wakil sahaja di dalam parlimen. Jika dikatakan SAPP akan menyertai Datuk Seri Anwar, ianya tidak akan menggugat kekuasaan BN sebagai kerajaan. Harus difahami juga, Datuk Yong Teck Lee bukan merupakan ahli parlimen dan pengaruhnya sudah semakin kecil di kancah politik Malaysia.
Amat tidak adil jika sekiranya hanya SAPP sahaja yang dikaitkan secara langsung dengan isu ini. Beberapa pihak juga dikatakan akan menyertai Pakatan Rakyat, namun diteliti semula ianya tidak mudah. Ahli parlimen BN menunjukkan sikap sayangkan parti. Mereka dilihat memiliki sikap dan perasaan yang tidak berbelah bahagi kepada BN. Walaupun BN hanya dapat membentuk kerajaan dengan ‘majoriti mudah’, namun kerajaan kini dilihat lebih bekerja keras dan bersatu.
Jika benar pun Pakatan Rakyat berjaya merampas kuasa daripada BN, beberapa perkara pula perlu difikirkan. Memang benar Datuk Seri Anwar Ibrahim memiliki cirri tersendiri untuk menjadi PM, namun ianya tidak cukup tanpa sokongan parti yang kuat. Jika diteliti ketiga-tiga parti di dalam Pakatan Rakyat, ternyata gabungan parti-parti ini belum cukup mantap. Lihat sahajalah kepada ideologi dan prinsip setiap parti. PAS ingin menjadikan Malaysia mengamalkan Islam secara keseluruhannya, DAP yang ingin mewujudkan Negara Malaysia yang bersifat liberal dan PKR yang sehingga kini perjuangannya belum cukup jelas. Belum pun Pakatan Rakyat membentuk kerajaan, sudah berlaku kemelut di dalam parti itu sendiri.
Dua orang calon Perdana Menteri dinamakan layak mentadbir Negara dan hala tuju Negara Malaysia yang ingin dibentuk masih menjadi perdebatan. Kedua-dua situasi ini amat memeritkan Pakatan Rakyat itu sendiri walaupun berjaya membentuk kerajaan. Melainkan DAP sanggup menerima ideologi PAS untuk menjadikan Islam agama rasmi Malaysia ataupun PAS sendiri sanggup menerima prinsip DAP untuk membentuk Negara Malaysia yang liberal dengan melihat PKR sebagai ‘mana-mana pun boleh’. Untuk mewujudkan kerajaan yang kuat perlu ada kombinasi yang kuat antara Perdana Menteri dan Parti yang memerintah. Perkara ini telah ditunjukkan oleh kerajaan Barisan Nasional sejak tahun 1957 lagi.
Sebagai rakyat biasa, penulis mengharapkan agar kerajaan sekarang untuk terus memegang tampuk kepimpinan Negara. Ini kerana kerajaan sekarang kuat dan memiliki pemimpin berkualiti. Mandat yang diberikan kepada BN dan Datuk Seri Abdullah perlu diteruskan. Pihak-pihak tertentu tidak berhak merampas mandat yang diberikan oleh rakyat ini dengan cara yang tidak betul. Jika betul Pakatan Rakyat benar-benar yakin untuk membentuk kerajaan, wujudkanlah ia dengan saluran yang betul. Rakyat masih memberikan mandat kepada BN untuk menjadi kerajaan yang mampu menjadikan Malaysia sebagai Negara yang cemerlang, gemilang dan terbilang.


Penulis ; azrul

51 Tahun Malaysia

Malaysia sudah berusia 51 tahun. Kalau kakitangan awam, 51 tahun tu sudah tidak lama pencen. Kita bersyukur dan bertuah kerana menjadi warga Malaysia, Negara tercinta. Tempoh 51 tahun ini, banyak mengajar erti “manis-pahit” kepada kita. Walaupun saya baru mencecah usia 21 tahun, 30 tahun lebih muda daripada Malaysia, namun saya merasakan Malaysia ialah Negara “syurga” dunia. Saya ingin mengajak sekalian pembaca untuk meningkatkan rasa cintakan tanah air kita. Kalau dahulunya, bapa-mama kita, pakcik-makcik kita, datuk-nenek kita amat perit sekali hidup mereka. Mencari makanan ibarat mencari mutiara, mencari rezeki ibarat mencari permata. Kalau dahulunya, ibubapa kepada ibubapa kita tidak boleh membaca dan mengira. Betapa kita sekarang bertuah. Sedarnya kita di dunia, kita memiliki segalanya. Keluarga yang berilmu dan berharta. Negara yang berdaulat dan sejahtera. Tidak berlakunya pertumpahan darah.
Dunia sekarang mengalami situasi yang amat mencabar. Lihat sajalah apa yang terjadi kepada Negara Thailand sekarang. Politik tidak stabil, rakyat menjadi mangsa. Lihat sajalah kepada Iraq dan Palestin, Tamadun dunia ini hampir tenggelam. Rakyat hidup tidak tenteram, memerlukan perhatian luar. Anak kecil tidak dihiraukan, menjadi mangsa kepada kekejaman. Warga tua tidak ketinggalan, turut menjadi mangsa kerasukan. Belum disusuri negara seangkatan. Somalia, afganistan memperlihatkan kepada kita, ketidaksepaduan membawa kehancuran.
Sekarang Malaysia menjadi pusat kedamaian. Ramai warga dunia bertandang. Serata dunia mengunjungi kita. Ramainya mereka tidak lain dan tidak bukan, ingin merasai nikmat keamanan. Ada yang bekerja sebagai pedagang, pansyarah, arkitek dan sebagainya. Kahidupan di Malaysia bagi mereka teramat indah. Dengan warganya berbilang bangsa, hidup harmoni menjamin keselesaan.
Marilah wahai pembaca sekalian, kita gerakkan langkah yang tertanam. Kenanglah sejarah hitam yang pernah melanda Negara. Sama-sama kita pertahankan keamanan, kemakmuran, kedauatan dan kesejahteraan. Jangan pernah rasa bosan. Ayuh, murnikan pegangan, perkuatkan genggaman. Malaysia, tanah airku tercinta. Semoga kekal sejahtera selama-lamanya. insyaAllah. Amin.

Penulis ; azrul