Friday, September 5, 2008

16 September – Kerajaan baru???

Tanggal 16 September merupakan hari kebanggaan warga Malaysia khususnya rakyat Sabah dan Sarawak. Tanggal inilah tertubuhnya ‘Malaysia’ apabila Persekutuan Tanah Melayu telah bergabung dengan Sabah, Sarawak dan Singapura sebelum Singapura menarik diri daripada gagasan Malaysia disebabkan factor-faktor yang tidak dapat dielakkan.
Namun, tarikh ini menjadi semakin popular sejak kebelakangan ini. Apa tidaknya, tarikh 16 Septemberlah yang dinyatakan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai tarikh tumbangnya kerajaan Barisan Nasional dan tertubuhnya kerajaan Malaysia yang baru di bawah kekuasaan Pakatan Rakyat.
Jika dilihat secara kasarnya, perkara ini seolah-olah sebuah cerita realiti. Banyak faktor yang menyebabkan Pakatan Rakyat bertambah yakin akan kenyataan ini. Kemenangan besar Pakatan rakyat pada PRU-12 yang lalu sedikit sebanyak menampakkan kepada kita betapa rakyat memberi isyarat kepada kerajaan di bawah pimpinan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bahawa pimpinan BN perlu terus bekerja dengan lebih gigih. Pakatan Rakyat telah berjaya membentuk 5 buah kerajaan negeri iaitu mengekalkan kakuasaannya di Kelantan, merampas 2 buah negeri ‘kesayangan’ BN iaitu Selangor dan Pulau Pinang dan berjaya menguasai Kedah dan Perak.
Selain itu juga, masalah dalaman BN yang wujud selepas PRU-12 memperlihatkan betapa setiap parti komponen dalam BN menuntut sesuatu demi kepentingan parti masing-masing. Isu-isu seperti penarikan diri 2 orang wakil rakyat Sabah sebagai Timbalan Menteri Persekutuan menambahkan lagi keyakinan Pakatan Rakyat untuk memenangi hati ahli parlimen BN.
Ditambah lagi dengan kelantangan parti komponen BN iaitu SAPP di ketuai Datuk Yong Teck Lee yang sudah hilang kepercayaan kepada kepimpinan Datuk Seri Abdullah. Harus diingat, ketika BN berjaya merampas Negeri Sabah daripada cengkaman PBS(kini menjadi parti komponen BN), Datuk Yong Teck Lee dan SAPP memainkan peranan yang cukup penting di mana Datuk Yong Teck Lee dan SAPP tidak setia bersama PBS dengan menyertai Barisan Nasional. Ini merupakan usaha Datuk Seri Anwar ketika beliau menjadi Timbalan Perdana Menteri pada ketika itu. Beliau berjaya memujuk Datuk Yong Teck Lee dan SAPP untuk membelot PBS dengan menyertai BN.
Kini, 2 watak ini(Datuk Yong Tek Lee dan Datuk Seri Anwar) dilihat cuba sekali lagi mengulangi sejarah. Datuk seri Anwar dengan kenyataannya beberapa ahli parlimen BN terutamanya daripada Sabah dan Sarawak akan melompat parti untuk mewujudkan kerajaan baru 16 September. Perkara ini telah menyebabkan perhatian seluruh warga Malaysia tertumpu kepada ahli parlimen Sabah dan Sarawak.
Jika dikaitkan isu ini dengan Datuk Yong Teck Lee dan SAPP, beberapa perkara perlu diambil perhatian. Kedudukan Datuk Yong Teck Lee di dalam SAPP tidak seteguh dulu dimana timbalannya Datuk Raymond dilihat lebih berpengaruh. Datuk Raymond yang juga merupakan Timbalan Ketua Menteri Sabah dilihat sangat setia kepada BN dan kerajaan. SAPP hanya mempunyai 2 orang wakil sahaja di dalam parlimen. Jika dikatakan SAPP akan menyertai Datuk Seri Anwar, ianya tidak akan menggugat kekuasaan BN sebagai kerajaan. Harus difahami juga, Datuk Yong Teck Lee bukan merupakan ahli parlimen dan pengaruhnya sudah semakin kecil di kancah politik Malaysia.
Amat tidak adil jika sekiranya hanya SAPP sahaja yang dikaitkan secara langsung dengan isu ini. Beberapa pihak juga dikatakan akan menyertai Pakatan Rakyat, namun diteliti semula ianya tidak mudah. Ahli parlimen BN menunjukkan sikap sayangkan parti. Mereka dilihat memiliki sikap dan perasaan yang tidak berbelah bahagi kepada BN. Walaupun BN hanya dapat membentuk kerajaan dengan ‘majoriti mudah’, namun kerajaan kini dilihat lebih bekerja keras dan bersatu.
Jika benar pun Pakatan Rakyat berjaya merampas kuasa daripada BN, beberapa perkara pula perlu difikirkan. Memang benar Datuk Seri Anwar Ibrahim memiliki cirri tersendiri untuk menjadi PM, namun ianya tidak cukup tanpa sokongan parti yang kuat. Jika diteliti ketiga-tiga parti di dalam Pakatan Rakyat, ternyata gabungan parti-parti ini belum cukup mantap. Lihat sahajalah kepada ideologi dan prinsip setiap parti. PAS ingin menjadikan Malaysia mengamalkan Islam secara keseluruhannya, DAP yang ingin mewujudkan Negara Malaysia yang bersifat liberal dan PKR yang sehingga kini perjuangannya belum cukup jelas. Belum pun Pakatan Rakyat membentuk kerajaan, sudah berlaku kemelut di dalam parti itu sendiri.
Dua orang calon Perdana Menteri dinamakan layak mentadbir Negara dan hala tuju Negara Malaysia yang ingin dibentuk masih menjadi perdebatan. Kedua-dua situasi ini amat memeritkan Pakatan Rakyat itu sendiri walaupun berjaya membentuk kerajaan. Melainkan DAP sanggup menerima ideologi PAS untuk menjadikan Islam agama rasmi Malaysia ataupun PAS sendiri sanggup menerima prinsip DAP untuk membentuk Negara Malaysia yang liberal dengan melihat PKR sebagai ‘mana-mana pun boleh’. Untuk mewujudkan kerajaan yang kuat perlu ada kombinasi yang kuat antara Perdana Menteri dan Parti yang memerintah. Perkara ini telah ditunjukkan oleh kerajaan Barisan Nasional sejak tahun 1957 lagi.
Sebagai rakyat biasa, penulis mengharapkan agar kerajaan sekarang untuk terus memegang tampuk kepimpinan Negara. Ini kerana kerajaan sekarang kuat dan memiliki pemimpin berkualiti. Mandat yang diberikan kepada BN dan Datuk Seri Abdullah perlu diteruskan. Pihak-pihak tertentu tidak berhak merampas mandat yang diberikan oleh rakyat ini dengan cara yang tidak betul. Jika betul Pakatan Rakyat benar-benar yakin untuk membentuk kerajaan, wujudkanlah ia dengan saluran yang betul. Rakyat masih memberikan mandat kepada BN untuk menjadi kerajaan yang mampu menjadikan Malaysia sebagai Negara yang cemerlang, gemilang dan terbilang.


Penulis ; azrul

1 comment:

Muslimin Agung said...

Salam Wasilah Ukhuwah Fillah

Sejarah membuktikan stiap kerajaan hanya bertahun tidak smapi setengah abad. Di Asia Tenggara ni, dah byk kerjaan korupsi dan zalim mcm BN yg dijatuhkan oleh kuasa rakyat. Buktinya, Diktator Suharto di Indonesia, Rejim Estrada di Filipina, dan Kezaliman Thaksin di Thailand. Sama-sama kita doakan agar kerajaan zalim akan tumbang dan ISLAM akan tertegak di Malaysia, bukan hanya retorik spt "Islam Hadhari"